Khamis, 11 Disember 2008

USAH BICARAKAN SYURGA JIKA TIDAK BERJIHAD

USAH BICARAKAN SYURGA JIKA JIKA TIDAK BERJIHAD

Ya Akhi…
Apakah makna daripada penciptaanmu ini? Adakah patut kamu mengaku
Hamba Allah padahal tiada suatu jasapun bagi dirimu kepada tuanmu(Allah)? Sedarlah, Hidupmu ini bukan untuk berseronok, bukan untuk mengumpulkan harta tetapi kelahiranmu ini adalah sebagai pejuang dan pembela bagi agama ini(islam)…
Oleh itu, usahlah kamu membicarakan tentang syurga sekiranya kamu tiada saham dalam perjuangan memartabatkan agama ini(ISLAM)!!!

Allah berfirman dalam surah Ali-Imran 3: 143 ;
“Adakah kamu meyangka kamu akan masuk SYURGA padahal belum lagi nyata kepada Allah(wujudnya) orang-orang yang BERJIHAD diantara kamu, dan belum lagi nyata wujudnya orang-orang yang sabar dalam perjuangannya”.

Ya Akhi…
Ketahuilah, berjihad dapat menjauhkan diri seseorang daripada api neraka iaitu jihad yang ikhlas semata-mata kerana Allah… Ramai orang berjihad sehingga mati, tetapi hatinya merasakan supaya namanya diagungkan oleh masyarakat atas keberaniannya. Ramai juga orang yang berjihad dengan mengeluarkan hartanya yang banyak, tetapi niatnya supaya dipandang mulia oleh masyarakat. Ramai juga orang berjihad dengan akal fikirannya dengan mengeluarkan kata-kata yang indah tentang islam tetapi sekadar untuk mendapat pulangan daripada hasil penulisannya. Ingatlah.., semua ini adalah pekerjaan yang sia-sia yang semestinya menjauhkan mereka daripada rahmat Allah Taala…

Oleh itu, berjihadlah pada jalan Allah dengan hati yang ikhlas supaya dapat menjauhkan kita daripada neraka Allah Taala… Sabda Nabi Muhammad S.A.W;
“Sesiapa yang kedua-dua kakinya berdebu dijalan Allah, nescaya Allah akan mengharamkan neraka baginya”.


YA AKHI…
Saksikanlah pada bulan yang megambang…
Cahayanya terang-benderang…
Lihat pula ditepinya…
Betapa kelam cahaya itu…
Begitulah diumpamakan perjuangan Islam…
Tidak ramai yang memperjuangkannya…
Betapa ramai musuh yang menyerang…
Betapa kelamnya cahaya ditepian bulan…
NAMUN INGATLAH,
Sekali bulan megambang…
Cahayanya menerangi seluruh kegelapan malam…
ALLAHUAKBAR...

Ahad, 16 November 2008

RASUAH:SURAT TERBUKA UNTUK UMNO

Pertamanya, saya ingin mencadangkan istilah ‘rasuah’ digunakan bagi menggantikan istilah ‘politik wang’ yang masih konotatif sifatnya walaupun sebenarnya dua istilah itu sinonim. Istilah ‘rasuah’ ini lebih dampak dan menampakkan impaknya terhadap para pengamalnya.

Mutakhir ini para pemimpin UMNO pelbagai peringkat termasuk mantan PM, Tun. Dr. Mahathir Mohamad telah mula menyedari kotor dan kesan rasuah dalam UMNO. Pelbagai pandangan dan komen diberikan sama ada secara langsung atau sinis. Hal ini berlaku apabila gejala rasuah ini telah menjadi wabak yang menggoncang kepimpinan UMNO. Wang dihamburkan dalam pelbagai bentuk sama ada tunai, tajaan jamuan dan lawatan, projek dan seumpamanya. Kepimpinan UMNO tidak lagi dipilih dari kalangan pemimpin yang ikhlas dan berwibawa tetapi kriterianya dominan pada siapa mampu memberi wang yang lebih besar jumlahnya.

Ikhlaskah Mahathir, Mahyudin Yassin, Dr. Rais Yatim dan pemimpin UMNO lainnya dalam pandangan mereka terhadap gejala rasuah? Apakah kebencian sesetengah pemimpin UMNO terhadap rasuah zahir setelah mereka tidak mampu lagi menyediakan wang berjuta untuk ahli-ahli UMNO? Atau apakah mereka mula sedar bahawa UMNO akan dikuasai oleh pemimpin yang tidak berwibawa apalagi berjiwa rakyat? Tidak pernahkah para pemimpin UMNO membenci sesuatu bertolak dari premis agama yang mengharamkan rasuah dan melaknat pemberi dan penerimanya? Di manakah kedudukan ‘Allah, ajaran al-Quran dan ancaman dosa-neraka’ dalam dada mereka yang sama-sama mengucap kalimah “asyhadu alla ilaha illaLah, wa asyhadu anna Muhammadar-rasululLah.?” Apakah kalau gejala ini tidak meruntuhkan UMNO, maka gejala ini tidak menjadi kudis gatal kepada pemimpin UMNO?

Salahkah kalau dikatakan rasuah dalam pemilihan UMNO bersifat relatif dengan rasuah dalam pilihanraya umum (PRU) dan pilihanraya kecil(PRK)? Kalau ada beza, tolonglah Tun Dr. Mahathir, Mahyudin Yassin dan Dr. Rais Yatim jelaskan? Jelaskanlah kepada rakyat melalui ucapan,tulisan dan blog masing-masing perbezaan ini agar rakyat tidak terus-terusan mengkategorikan kalian sebagai pemimpin-pemimpin yang temberang; bagai menanam tebu di bibir mulut, pepat di luar runcing di dalam, telunjuk lurus kelingking berkait?

Apakah beza menganjur jamuan semasa musim pemilihan dengan di luar musim pemilihan UMNO? Apa beza beri bantuan basikal kepada rakyat dalam tempoh kempen pilihanraya kecil atau PRU dengan di luar musim pilihanraya? Apa beza taja lawatan semasa musim pemilihan dengan di luar musim pemilihan? Apa beza buat projek segera untuk rakyat semasa tempoh pilihanraya dengan di luar musim pilihanraya? Apa beza beri duit kepada perwakilan semasa musim pemilihan dengan masa di luar musim pemilihan? Apa beza beri kain pelikat, atap zink dan baja kepada rakyat semasa musim pilihanraya dengan ketika di luar musim pilihanraya? Jelaskanlah dengan jujur dan bermaruah.

Apa pandangan Tuan-Tuan tentang kemenangan pemimpin Tuan-Tuan kerana rasuah? Apakah pandangan itu jadi berbeza apabila parti Tuan-Tuan menang kerana rasuah dalam PRK dan PRU? Rakyat sering tertanya-tanya mengapa benda yang sama diwarna dengan dua rona - yang satu hitam manakala yang satu lagi putih?

Sesekali aku merasa ingin membelah dadamu wahai pemimpin UMNO untuk melihat dengan jelas apa yang berada di dalamnya? Berilah pisau kepadaku agar aku tidak lagi prejudis akan kejujuranmu.

Ahad, 9 November 2008

JANGAN DISANDINGKAN IKHLAS DENGAN BAKHIL.

JANGAN DISANDINGKAN

IKHLAS DENGAN BAKHIL

Ya akhi,

Amalan sedekah merupakan tuntutan yang sangat dititikberatkan dalam Islam selain daripada sistem zakat. Umat dituntut malah disuruh berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan. Lalu kita keluarkanlah sebahagian daripada harta benda dan wang kita untuk diisi ke dalam tabung-tabung masjid, peti-peti derma dan dana-dana perjuangan.

Kita sedar dan sentiasa menyedari tentang pentingnya keikhlasan dalam amalan derma. Tidak

dinafikan bahawa insan yang memahami agama selalu mengutamakan keikhlasan dalam beramal. Lalu ada di kalangan kita yang menghulurkan kepingan syiling. Ada yang menyumbangkan RM 1 dan RM2 dan ada pula yang sanggup menyumbangkan sehingga beribu-ribu ringgit dalam dana-dana tertentu.

Ya akhi,

Persoalannya ialah siapa kita, berapakah pendapatan kita dan banyak manakah harta kita?

Persoalannya ialah wajarkah kita dermakan sekadar seringgit dua asalkan ikhlas sedangkan wang dalam dompet kita terselit beratus-ratus ringgit. Masihkah akhi amalkan lagi teori ‘biarlah 10 sen asalkan ikhlas’? Wajarkah kita sumbangkan RM10 sedangkan kita mempunyai wang dalam bank puluhan ribu ringgit? Inilah persoalan dalam anjakan pemikiran ini.

Semasa kita memasukkan syiling-syiling lebihan belanja untuk tabung masjid, apakah yang tersembunyi di hati kita? Semasa kita mengambil RM1 daripada ratusan ringgit di dalam dompet kita untuk didermakan kepada jihad, apakah yang tersembunyi di hati kita? Apakah yang bermain ketika kita telah berasa banyak dengan RM10 daripada puluhan ribu ringgit di dalam bank untuk tabung fakir miskin? Dan apabila kita sudah menderma RM100 untuk mendaulatkan hukum Allah sedangkan kita adalah seorang hartawan, maka kita sudah berasa lebih daripada orang lain? Ya akhi, sebenarnya apakah yang tersembunyi di hati kita selain keikhlasan? Jawapannya ialah tak lain tak bukan; itulah sifat yang dinamakan bakhil. Tilik pandanglah sifat kedekut yang terselit kejap di lipatan amal kita.

Ya akhi,

Wajarkah kita sandingkan sifat ikhlas bersama sifat bakhil di persada iman kita? Bukankah satu itu sifat mahmudah dan satu lagi sifat mazmumah? Sedarlah bahawa perjungan menegakkan hukum Tuhan dan usaha meninggikan syiar Islam memerlukan umat yang mempunyai hati seperti Saidina Abu Bakar dan Abdul Rahman bin Auf. Hati insan seperti mereka boleh dimiliki oleh seorang nelayan dan petani, apatah lagi seorang hartawan. Soalnya berapa kadar yang akhi dapat hulurkan untuk fisabilillah nisbah dengan harta yang akhi miliki. Ingatlah, apakah yang masih tersembunyi di lipatan hati ketika di lipatan yang satu lagi kita telah mengatakan ‘saya ikhlas’. Mudah-mudahan ia bukanlah sifat kedekut yang Allah benci. Renung-renungkanlah dan tilikpandanglah.

Khamis, 6 November 2008

DOSA TIDAK KHUSYUK SOLAT

Ana bercakap untuk diri Ana tentang dosa Ana tidak khusyuk solat. Cakap untuk diri sendiri tak perlu masuk internet. Ana cuma beri peluang kepada pengunjung maya untuk berkongsi rasa berdosa kepada Allah sekiranya kita dari kalangan yang sama.

Rasa berdosa ini timbul sudah lama. Sejak Ana terbaca hadis yang mana kita diberitahu bahawa bahagian solat yang khusyuk diterima Allah bagai kain putih bersih manakala bahagian yang tak khusyuk umpama kain buruk yang dilempar kembali ke muka kita.

Rasa gerun dan menyesal bercampur-aduk. Maklumlah solat Ana sentiasa berseling-seli antara khusyuk dan tidak. Ada waktu khusyuknya sehingga 70%. Ada ketikanya cuma khusyuk 30%. Selebihnya ialah bahagian yang tidak khusyuk. Maka apalah nasib Ana dan solat Ana bagi peratusan bahagian yang tidak khusyuk itu?

Ana merasa dukacita dan takut kepada Allah kerana Ana nampak (secara berfikiran projektif) di alam barzakh atau di akhirat kelak tayangan solat Ana oleh Allah s.w.t. Tentulah Allah tunjukkan bahagian-bahagian solat yang tidak khusyuk itu. Tentulah Allah murka. Dan balasan bagi orang yang dimurkai Allah, kita tahulah sendiri. Di akhirat pula tu. Bukan boleh menyesal lagi dan nak balik ke alam dunia kerana nak baiki semula amalan solat yang rosak itu.

Kadang-kadang kita cuma rajin solat sehingga solat sunat kita buat - apa lagi solat sunat rawatib. Hati kita gembira dan tenang kerana banyak melakukan solat sunat. Tetapi petunjuk Allah datang menyedarkan Ana. “Teruskan dengan solat-solat sunat tetapi baiki khusyuk dalam solatmu,” bisik hati Ana. Itulah maksud Ana hidayah Allah. Allah beri peluang Ana berfikir.

Inilah yang Ana hendak luahkan dan mungkin dikongsi bersama oleh sahabat. Tulisan itu dakwah. Kalau tulisan itu bukan medan dakwah, memadai Ana pendamkan sendiri di dalam hati sambil Ana baiki solat Ana sendiri. Demikianlah.

Jumaat, 24 Oktober 2008

SEMANGAT PERJUANGAN!!!

LAGU NASYID UNTUK PEJUANG ISLAM...

BERHIKMAHLAH PAKATAN!



Saudara,

Belajarlah daripada pengalaman. Apabila saya baca beberapa pendapat dalam blog dan laman web, saya nampak unsur yang boleh menggagalkan Pakatan Rakyat kembali wujud.

Ada pimpanan peringkat negeri, exco, peringkat kawasan dan akar umbi mula menyuarakan isu Negara Islam sehingga digunakan oleh media massa untuk memperlagakan parti-parti dalam PR. Ada juga suara yang mahu PAS menjadi tunjang Pakatan Rakyat. Apakah maksud ”tunjang” ini? Apakah kita ingin wujud kecurigaan dengan PKR dan DAP? Dari segi logik, PKR paling banyak kerusi Parlimen dan DS Anwar Ibrahimlah yang berjaya menyatupadukan pembangkang serta berusaha keras ke sana ke sini dalam kejayaan ini. Kalau semua ini tidak ditangani segera oleh Majlis Syura maka mungkin nanti terlambat untuk mengubatinya.

Bagi pendapat saya,

1. Ahli PAS mesti ikut keputusan Majlis Syura. Jangan mudah guna pendapat sendiri. TG Haji Hadi bercakap dengan hujah dan hasil rumusan pandangan majlis syura. Jadi janganlah kita rasa, TG Haji Hadi bercakap ikut pendapatnya sendiri. Contohnya, apabila dipilih tema Negara Berkebajikan, bukan kita buang Negara Islam. Ini perlu disedari. Bukankah Musyrikin Mekah fobia dengan ” Rasulullah” maka perkataan itu dipersetujui oleh Nabi s.a.w. agar tidak ditulis dalam Perjanjian Hudaibiyah. Apakah, Nabi berhenti berperanan sebagai Rasulullah dengan menerima cadangan musyrikin itu? Tidak. Ini namanya bilhikmah.

2. Para pemimpin PAS sama ada exco dan pemimpin pusat yang lain jangan mudah ’mesra-wartawan’. Asal wartawan hulur mic, kita bercakap, mengulas dan sebagainya. Kita bimbang nanti, isunya dimanipulasikan oleh media. Serahkan sahaja kepada pucuk pimpinan untuk mengulas.

3. Pemimpin PAS perlu bijak dengan puak DAP yang fobia Negara Islam. Renung kembali sirah Nabi s.a.w. yang nampak merugikan tetapi akhirnya ternyata menguntungkan perjuangan Islam.

Janganlah dirosakkan peluang terbuka untuk memerintah negara ini. Peluang kini lebih terbuka berbanding pada tahun 1999. Kalau ada rezeki, mungkin empat bulan dari sekarang – tak sampai PRU 13. PAS perlu menjadi sebahagian daripada parti yang memerintah negara. Apabila kita perintah negara, peluang terbuka bagi kita untuk:-

1. Mewujudkan SPR yang adil dan telus. Reformasi SPR memudahkan urusan penggunaan dakwat kuku, penghapusan undi pos, pembersihan daftar pemilih dari pengundi hantu dan pengundi berganda, persempadanan semula yang lebih adil dan sebagainya.

2. Mewujudkan media cetak dan media eletronik yang lebih adil dan bebas. Tiada lagi monopoli Tv dan radio dan akhbar. Rakyat akan dapat didedahkan dengan maklumat, berita dan penjelasan yang tepat sama ada tentang perlaksaan Islam dan isu-isu politik dan penjelasan Negara Islam serta hukum-hakamnya.

3. Menghapuskan pelbagai akta yang bercanggah dengan keadilan seperti Akta Mesin Cetak, OSA, Akta Polis, AUKU, ISA dan sebagainya. Dengan terhapusnya akta-akta ini, insya Allah terhapuslah penderitaan yang ditanggung oleh rakyat dan rakyat mendapat haknya kembali mengikut perkara yang digariskan dalam Perlembagaan Negara.

4. Memesatkan tradisi ilmu melalui pengimarahan masjid surau, siaran-siaran Tv dan radio sehingga rakyat menjadi lebih celik agama.

5. Mewujudkan reformasi badan kehakiman, polis dan meletakkan BPR di bawah kuasa Parlimen. Ini sangat penting dalam membangunkan sebuah negara yang adil, bebas rasuah dan berintergriti.

Sebenarnya sangat besar dan banyak faedahnya kepentingan Islam ditegakkan apabila PAS dapat memerintah negara dalam gagasan Pakatan Rakyat. Justeru itu, tolonglah jangan kita tersilap langkah sehingga terkuburnya pakatan ini. Kalau kita gagal hari ini, entah bila pula peluang terhidang ini dapat diraih semula. Kegagalan Pakatan Rakyat bererti BN berjaya mengukuhkan semula cengkamannya.Sekian.

Rabu, 22 Oktober 2008

PEMIMPIN BERSAMA RAKYAT


GAMBAR ANA BERSAMA DENGAN TUAN GURU DATO' HARON DIN(TIMBALAN MURSYIDUL AM PAS)